Motivasi: Tujuan & Kepentingan

on Sunday, April 15, 2012

Kita sering bercakap tentang motivasi, tetapi adakah kita benar-benar memahami apa yang kita perkatakan itu? Pemahaman terhadap istilah motivasi dan isi dan kandungannya adalah amat penting terutamanya kepada ketua-ketua, pengurus-pengurus, pentadbir-pentadbir unit/ jabatan/ organisasi kerana ia menceritakan sesuatu yang tersirat di sebalik tindakan dan gelagat manusia.

DEFINISI

Tahun 1950an merupakan detik permulaan bagi pembangunan konsep motivasi. Sejak daripada itu, ramai pengkaji cuba mengetengahkan idea masing-masing berhubung dengan motivasi.

Motivasi secara amnya mengkaji sebab-sebab individu bergelagat. Ia boleh dikatakan sebagai satu hala tuju dalam sesuatu tindakan. Ia juga berkaitan dengan persoalan mengapa individu memilih gelagat tertentu dan mengulanginya pada masa akan datang walaupun menghadapi tekanan. Motivasi merupakan satu ciri dorongan di dalam sanubari manusia untuk berusaha mencapai matlamat.

Sebagai ketua/pengurus/pentadbir bagi sesebuah unit/ jabatan/ organisasi, memainkan peranan penting dalam memberi motivasi kepada pengikut masing-masing kerana motivasi berkait dengan mendorong atau mempengaruhi gelagat orang lain berdasarkan kepada pengetahuan tentang apa yang menyebabkan mereka berkelakuan samada defensif atau proaktif.

TUJUAN

1. Untuk memenuhi kepuasan pengikut masing-masing kerana jika mereka berpuas hati dan mempunyai moral yang tinggi akan mempamerkan kerjasama yang erat dan ketaatan yang baik kepada unit/ jabatan dan organisasi.

2. Bertujuan untuk memotivasikan kelakuan kerja. Ketua/ Pengurus/ Pentadbir yang berkesan harus memahami dan mengetahui gelagat kerja yang patut dimotivasikan supaya matlamat unit/ jabatan/ organisasi dapat dicapai. Antara yang perlu diambilkira ialah gelagat-gelagat pengikut menyertai sesebuah unit/ jabatan/ organisasi, terus berada didalam unit/ jabatan/ organisasi tersebut, sentiasa hadir bekerja dan menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang.

3. Motivasi dapat melicinkan tugas. Terdapat pelbagai halangan yang menganggu tugas seseorang. Dengan adanya motivasi, halangan seperti ketidakhadiran dapat dikurangkan atau dielakkan. Contohnya Ketua/ Pengurus/ Pentadbir boleh menggunakan program latihan atau menurunkan sedikit kuasa kepada pengikut-pengikut sebagai alat motivasi.

4. Motivasi dapat merangsangkan prestasi. Suasana kerja yang memberangsangkan seperti kebebasan dalam cara melaksanakan kerja akan menggalakkan pengikut untuk bekerja bersungguh-sungguh dan seterusnya meningkatkan prestasi kerjayanya. Seterusnya ini menguntungkan bagi jangka masa panjang kerana berupaya melahirkan ramai pengikut yang sentiasa bersaing secara sihat untuk meningkatkan prestasi masing-masing dan juga prestasi unit/ jabatan dan organisasi.

KEPENTINGAN

1. Melahirkan pengikut yang lebih produktif

2. Menghasilkan kerja atau produk yang berkualiti

3. Membina alternatif yang lebih baik supaya produktiviti dan kualiti sentiasa dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.


KESIMPULAN

Mempelajari dan memahami motivasi akan menjadikan seseorang Ketua/ Pengurus/ Pentadbir lebih berfikiran terbuka dan kreatif dalam meningkatkan usaha pengikutnya ke arah mencapai visi/misi/objetif unit/ jabatan/ organisasi yang diwakilinya.


Sumber Rujukan: Pengurusan Organisasi:2009, CENGAGE Learning

PERUBAHAN TARIKH TUTUP LAWATAN

on Sunday, April 1, 2012

Adalah dimaklumkan pihak PERSATUAN PEGAWAI PEMBANGUNAN MASYARAKAT (PERUBATAN) telah meminda TARIKH TUTUP permohonan Lawatan Sambil Belajar Ke Indonesia kepada 30.4.2012 (Isnin).
Sebarang pertanyaan lanjut sila berhubung dengan En.Mohamad Yunus Bin Hj. So'oib di talian 03-26155954/6464.